Wednesday, 18 April 2012

Ada Apa Bahagia Dalam Hujan ?

Bismillahirahmanirahim,dengan nama allah maha pemurah lagi maha mengasihani






hujan rintik-rintik membasahi muka bumi . angin bertiup kencang dan adakalanya perlahan dingin . gelap malam ini ditangisi awan yang terbang di langit . mengapung bersama cahaya bulan yang sedikit . udara menjadi beku sebentar . atmosfera tenang menyelimuti alam . lagu yang berirama perlahan dimainkan , mengulit rasa tenteram kepada jiwa yang mendengarkannya .


ada apa dalam hujan ? 

 ada rasa bahagia . bahagia yang hanyalah biasa-biasa jika dipandang oleh manusia yang biasa . bahagia yang bukan hanya untuk dilihat tetapi dirasa dalam hati . rasa bahagia yang bagaimana ? bahagia yang mendapat pandangan penuh kasih sayang daripada tuhan maha tinggi .


ada apa bahagia dalam hujan ?

kanak-kanak bersampin hijau pulang menaiki basikal sambil bermain hujan pada waktu petang . pulang berkejaran antara satu sama lain di tepi jalan raya yang penuh lopak , membasuh tayar yang botak penuh dengan debu hangat mentari semalam .


ada apa bahagia dalam hujan ?

katak-katak melompat di balik semak di dataran sekolah , entah gembira atau sedih  pada bulan julai . gembira dapat melepaskan diri daripada sekumpulan pelajar aliran sains dan sedih kerna ditangkap , menanti nyawanya hilang pada hari esok di makmal sekolah .

ada apa bahagia dalam hujan ?

pelajar universiti menghirup kopi panas di hadapan laptop bersama teman-temannya . bersama menonton rancangan televisyen yang tergendala , rancangan yang bukan ilmiah pastinya .

 
ada apa bahagia dalam hujan ? 

pekerja kilang yang bekerja keras , membanting tulang demi mengumpul rezeki untuk simpanan masa depan keluarganya . mengucup manja ahli keluarganya sebelum melabuhkan mata dalam dingin hujan .


ada apa bahagia dalam hujan ?

lelaki yang berkejaran dengan rakan-rakannya di padang bola . membunuh suci warna baju dengan lecak perang . gembira hingga ke langit , sehinggakan mahu awan itu terus menangis untuk masa yang lama . dan malamnya , mereka pula yang menangis membasuh kotornya baju bola .


ada apa bahagia dalam hujan ?

 kekasihnya itu mahu memutuskan hubungan di taman yang penuh rintik-rintik . lelaki itu pedih . emosinya didera . mungkin kerna tidak bisa ditolak , diseksa emosinya kerna biasa menonton rancangan gusti yang selalu menyeksa fizikal . lelaki itu bahagia , mengenal apa itu sakitnya kasih sayang yang hilang .


ada apa bahagia dalam hujan ? 

seorang lelaki tua yang berketayap putih lusuh . mengenggam tasbih , mengira tahmid dan melaungkan takbir dalam hatinya . matanya melekat ke langit yang basah , bahagia menanti hari esoknya yang dia masih lagi mahu menghirup angin dingin di balik tingkap masjid .  bahagia yang menjadi dua , sama ada bisa melihat bibirnya menjunjung nama tuhannya atau bisa melihat wajah tuhan yang teragung di alam hakiki .
 

ada apa bahagia dalam hujan berkenaan diri anda ? 

 saya tidak mahu tahu . biarlah ianya menjadi rahsia . rahsia yang dikunci erat dalam hati . rahsia yang hanya kita boleh bongkar kepada tuhan . rahsia yang mengutuh rasa cinta kepadaNya . Alhamdulillah atas segala nikmatMu , nikmat yang berbentuk hujan . hujan yang penuh rahsia .

No comments:

Post a Comment